Yusni Jaafar Dalam Kenangan

Yusni JaafarSeorang yang disukai ramai kerana sifat cerianya, anak kepada pasangan Jaafar Sidik dan Kasmini Mustajab serta kakak kepada pelakon Sukarni Jaafar. Buat seluruh anak seni, dialah ibu yang sering kali menghiburkan hati. Begitu juga buat peminat, dialah permata yang setia menceriakan hari mereka.

Namun, sinaran itu padam pada jam 2.30 pagi, 1 April lalu, apabila Yusni Jaafar pelakon komedi yang disegani itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang pada usia 63 tahun di sisi anak-anaknya iaitu Raja Iskandar, 41, Raja Ema, 39, Raja Izat, 37, Raja Emey, 30, dan Raja Erna, 23.

Biarpun itu perjumpaan terakhir dengan anak-anak hasil perkahwinannya dengan Raja Ibrahim Raja Mansor, namun Allahyarham pergi bersama membawa ketenangan yang didambakannya sepanjang hayatnya.

Kasih sayang yang tidak berbelah bagi terhadap anak-anak turut dibawa bersama ke liang lahad oleh seniwati yang sebelum ini pernah dilaporkan terguris hati dengan anak-anaknya.

Syukur keretakan hubungan kekeluargaan antara Allahyarham berjaya dipulihkan dan sekali gus memadamkan kesemua dendam mahupun amarah.

Namun, kini semua itu tinggal kenangan apabila Allahyarham Yusni meninggal dunia akibat penyakit hati dan pendarahan dalam perut. Selain penyakit hati, nenek kepada sembilan cucu itu juga dikatakan menderita sakit buah pinggang dan kencing manis.

Sebelum ini, Allahyarham pernah dimasukkan ke Hospital Selayang pada 1 Februari sehingga penghujung bulan kerana menjalani rawatan lanjut. Bagaimanapun, Allahyarham dibenarkan keluar dan berada dalam jagaan anak keduanya, Raja Ema.

Pun begitu, keadaan kesihatannya kembali tidak stabil dan menyebabkan Allahyarham dimasukkan semula ke Hospital Selayang pada 10 Mac lalu.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21 selepas disembahyangkan di masjid berdekatan.

Mengimbas pembabitan seninya, Allahyarham dilahirkan dari keluarga seni dan mewarisi bakat daripada ibu bapanya yang berasal dari Medan, Indonesia.

Ibu dan bapa Yusni, Jaafar Sidik dan Kasmini Mustajab aktivis bangsawan bukan hanya merantau ke merata Malaysia tetapi hingga ke Singapura.

Apapun, seawal usia lima tahun, Yusni pernah menjadi penyanyi latar dan penari di samping kakak sulungnya, Allahyarham Kasmah Abdullah atau Kasma Booty yang mencipta nama sebagai anak wayang.

Pada usia semuda itu juga, Allahyarham pernah mengikuti kakaknya itu bermain wayang dan sandiwara di Pulau Pinang dan seterusnya ke Singapura di Studio Shaw Brothers.

Bahkan, akhirnya terbentuk Booty Boys, kumpulan nyanyian trio bersama dua lagi saudaranya, Suria dan Purnama Booty yang diberi peluang menjayakan persembahan di Hotel Park Royal.

Allahyarham yang tidak pernah bersekolah menggilap bakat seninya sebagai penyanyi pada usia begitu muda iaitu enam tahun. Kemudian pada usia 11 tahun Allahyarham menceburi bidang lakonan.

Buat pertama kalinya, Allahyarham memperoleh wang saku sendiri hasil pembabitannya sebagai dayang dalam filem terbitan Cathay Keris bersama kakaknya Kasma Booty.

Pada 1960-an, Allahyarhamah serta keluarga berpindah ke Kuala Lumpur bagi mengembangkan kerjaya seni, termasuk mencuba bakat Bintang Radio Gombak Setia.

Apabila memasuki usia 12 tahun, Yusni yang meminati Allahyarham Puan Sri Saloma memulakan kerjayanya sebagai penyanyi kelab malam di Kuala Lumpur.

Dunia layar perak Allahyarham hanya bermula ketika dia terpilih membintangi filem Allahyarham AR Tompel berjudul Abu Nawas. Hanya mendapat bayaran RM15, watak yang dilakonkan Allahyarham sebagai anak dara yang buruk dan berhidung besar menjadi perhatian ramai.

Seterusnya, dia membintangi filem Keris Sempena Riau dan Siti Payung arahan Salleh Ghani. Allahyarham juga menjadi penyanyi latar filem Damak arahan Tan Sri P Ramlee.

Bagaimanapun, pada 1966, Yusni mengambil keputusan berehat sementara daripada menyanyi di kelab malam bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga sebaik saja mendirikan rumah tangga dengan pemuzik, Raja Ibrahim Raja Mansur.

Hanya pada 1973, Yusni kembali menyanyi di kelab malam membantu suaminya untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Pada tahun sama, Allahyarham diundang menjayakan program hiburan oleh pelawak, pelakon, pengarah dan penerbit, AR Badul dan terus bersara menyanyi di kelab malam. Bertitik-tolak dari itu, bermulalah kariernya sebagai pelawak.

Yusni juga kembali ke layar perak dan berlakon dalam filem Azura yang menampilkan pelakon, Fauziah Ahmad Daud (Azura) dan Jamal Abdillah. Pencinta setia dunia filem pasti tidak akan sama sekali melupakan lakonan cemerlang Allahyarham dalam filem tersebut sebagai Mak Long kepada Azura.

Biarpun, kemunculannya sangat singkat, namun lakonan Allahyarham Yusni sebagai ibu saudara yang garang meninggalkan kesan yang mendalam.

Selain drama dan filem, Allahyarham pernah menjayakan video klip Allahyarham Sudirman Arshad untuk lagu Basikal Tua pada 1980-an.

Dalam klip itu, Sudirman berhempas pulas mengayuh basikal yang dinaiki oleh Yusni yang berbadan besar itu. Gelagat mereka cukup menarik. Sudirman dengan basikal tua yang agak besar, hendak membonceng Yusni juga berbadan besar. Ini merupakan salah satu ingatan yang tidak dapat dilupakan mengenai Yusni Jaafar.

Sepanjang menghambakan diri sebagai anak seni, Allahyarham juga mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) daripada Sultan Pahang pada 1985.

Empat tahun kemudian, Allahyarham menerima satu lagi anugerah iaitu Pelakon Komedi Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-8 yang diadakan pada 1989.

Pada Ogos 2005, Yusni antara 20 artis veteran yang menerima wang pencen daripada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) untuk sepanjang hayat.

Di skrin kecil televisyen pula, beliau cukup sinonim dengan siri komedi Santan Berlada yang turut menampilkan pelakon lawak Mr Os, Fauziah Nawi, Khairul Azhar dan Ali Mamak.

Sepanjang kariernya, Yusni yang cukup popular pada era 80-an ini pernah muncul dalam kira-kira 20 filem. Selain Cuci dan Panglima Badol, aktres ini juga membintangi filem Setinggan, Sikit Punya Gila, Gila-Gila Remaja, Balik Kampung, Hantu Siang, Guru Badul, Dendang Remaja, dan Antara Dua Hati.

Filem lain yang turut dilakonkan ialah Pening-Pening Lalat, Driving School, Penghujung Malam, Senario The Movie, Soalnya Siapa?, Laila Isabella dan Tak Ori Tapi OK.

Impak Maksima yang sedang ditayangkan di TV3 sekarang merupakan drama terakhir Yusni. Manakala aksi terakhirnya pula ialah menerusi filem sulung arahan Hans Isaac, Cuci, yang baru saja menemui penonton awal tahun ini. Dalam filem yang dibintangi Hans, Awie, Afdlin Shauki, AC Mizal, Erra Fazira dan Umie Aida itu, dia berlakon sebagai ibu Umie.

Filem Lost And Faun arahan Afdlin Shauki yang dihasilkan tahun lalu turut dibintangi oleh Yusni, filem ini belum ditayangkan lagi.

Pemergiannya satu kehilangan cukup besar dalam industri seni tanah air kerana sudah berdekad lama, pelakon ini menyumbangkan jasa dengan menghiburkan hati jutaan peminat setiap kali beliau tampil dalam filem, drama mahupun rancangan televisyen.

Segala-galanya ditinggalkan seniwati itu yang banyak mewarnai dan menceriakan dunia perfileman tempatan. Selepas ini, kita sudah tentu akan mengenang beliau sebagai anak seni tulen yang tidak berganti.

Perjalanan terakhir seniwati itu dinoktahkan dalam keadaan penuh ketenangan. Ketenangan itu juga jelas terpamer pada wajah Yusni ketika Allahyarham dikafankan.

Didoakan Allahyarham Yusni akan damai di sana. Moga kamu ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Sumber : Berita Harian dan Harian Metro

Technorati Tags: , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

[…] Tumpat-born Yusni is survived by five children. More about her can be read at Yusni Jaafar Dalam Kenangan. addthis_url = ‘http%3A%2F%2Fwarkah.com%2Factress-yusni-jaafar-dies%2F’; addthis_title = […]

semoga tuhan mengcucuri rahmat keatas rohnya….sama2lah kita berdoa…

Leave a comment

(required)

(required)