Yasmin Ahmad Meninggal Dunia

Yasmin AhmadPengarah filem dan iklan yang terkenal Yasmin Ahmad, 51, telah meninggal dunia setelah dilaporkan tenat awal malam Sabtu.

Pemergian Yasmin, seorang pengarah yang mengangkat perfileman negara mutakhir ini bersama kontroversinya sendiri, diumumkan dalam berita tengah malam TV3.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira 11.25 malam 25 Julai 2007 di Hospital Pakar Damansara, lapor Bernama, yang memetik pengesahan daripada ketua pegawai operasi Media Prima, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang berada di situ.

Khamis lalu, Yasmin dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital swasta itu setelah diserang angin ahmar kira-kira jam 4.30 petang di stesen TV3.

Beliau waktu itu berada di Sri Pentas untuk berjumpa dengan Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan suaminya Datuk Khalid Jiwa apabila beliau dilaporkan menghadapi kesukaran bernafas dan pengsan.

Siti Nurhaliza, duta Persatuan Bulan Sabit Malaysia, dilaporkan turut memberikan bantuan penafasan (CPR) kepada Yasmin bersama dengan seorang doktor panel stesen tersebut.

Di hospital pakar itu, para doktor dilaporkan berjaya menstabilkan beliau sebelum membuat pembedahan otak kira-kira jam 6 petang hari yang sama.

Filem-filemnya Sepet, Gubra dan Mukhsin cukup terkenal, termasuk di di luar negara dan menggondol beberapa anugerah di beberapa festivel filem antarabangsa seperti di Berlin, San Francisco, Singapura dan Cannes.

Bernama juga melaporkan, jenazah Yasmin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, kira-kira 1 petang Ahad, 26 Julai 2007.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham ditempatkan di Masjid Abu Bakar As-Siddiq bagi membolehkan kaum keluarga dan kenalan terdekat memberi penghormatan terakhir.

Jenazah itu disembahyangkan dan dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 12 tengah hari.

Suasana sedih dan sepi menyelubungi perkarangan masjid yang dihadiri lebih 200 orang termasuk saudara mara Allahyarham dan penduduk kawasan berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir serta mengiring jenazah ke tapak perkuburan.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang turut hadir pada upacara pengebumian itu berkata kredibiliti Allahyarham sebagai pengarah filem bertaraf antarabangsa akan dikenang dan negara kehilangan pengarah yang berbakat.

“Kami (rakan-rakan yang mengenali Yasmin) begitu sedih dengan pemergiannya. Sebenarnya, satu perundingan antara Yasmin dan Datuk Johan Jaafar (Pengerusi Eksekutif Media Prima Bhd) telah dibuat untuk mengeluarkan lebih banyak filem dan tayangan berbentuk komersial bertemakan 1Malaysia dan perpaduan kaum,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Datuk Tony Fernandez berkata arwah seorang insan yang sangat istimewa kerana sentiasa mempunyai idea-idea dalam menghasilkan karya bermutu bagi merealisasikan konsep 1Malaysia.

Penulis lirik terkenal Habsah Hassan berkata walaupun arwah bersikap terbuka dan karyanya sering menimbulkan kontroversi berdasarkan keterbukaan serta keberaniannya dalam mengupas isu-isu kemasyarakatan, namun pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar dunia seni perfileman tanahair.

“Tempat Yasmin sebagai pengarah filem tidak dapat dicari ganti, beliau cepat mesra dan mudah menarik perhatian orang. Itu merupakan satu sikap yang bagus sebagai seorang pengarah bagi menjalinkan kerjasama di kalangan pelakon untuk berlakon di bawah arahannya,” katanya.

Pengarah filem terkenal Othman Hafsham berkata, walaupun beliau tidak begitu mengenali arwah, namum arwah banyak berkongsi idea dengannya dalam menghasilkan karya-karya filem dan iklan tv yang bermutu tinggi.

“Arwah seorang karyawan yang sentiasa mempunyai idea bernas dalam karyanya …membudayakan hidup perpaduan kaum di dalam karyanya. Di tanah perkuburan ini dapat dilihat semangat itu yang menyatukan kaum di negara ini,” katanya.

Senator Tan Sri Jins Shamsudin turut memberikan pandangan yang sama terhadap arwah sebagai seorang pengarah yang berpotensi dan mempunyai kebolehan luar biasa dalam menghasilkan karya-karyanya.

Pihak media tidak dibenarkan membuat liputan dan merakam gambar semasa jenazah disembahyangkan dan pada upacara pengkebumian.

Sementara itu aktivis popular Datuk Marina Mahathir mengecam keras akhbar Kosmo! kerana mendedahkan latar belakang pengarah terkenal Yasmin Ahmad yang sejak lahir dikenali sebagai Zulkifli.

Menyifatkan akhbar dalam kumpulan Utusan Melayu Bhd itu sebagai “makhluk yang hina”, aktivis wanita itu berang dengan sikap media itu mencerita pengarah itu sebagai seorang naib juara bintang RTM pada 1975 dan penyerang bolasepak Melaka pada zaman persekolahannya.

“Malangnya terdapat makhluk hina yang dipanggil Kosmo! yang mengaibkan nama baiknya.

“Keluarganya rasa sangat kecewa,” kata Marina.

“Yasmin belum lama disemadikan dan Kosmo! telah mula menerbitkan bermacam-macam sampah mengenainya.

“Bukannya menghormati seseorang yang percaya pada apa yang boleh dicapai oleh Malaysia dan rakyatnya, Kosmo! sebaliknya memilih mencemarkan reputasinya.

“Apakah tidak ada rasa hormat di kalangan editor dan pemberita di sana?”

Anak mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut menggesa pembaca membantah pemberitaan itu dan memulaukannya.

“Beginikah caranya kita mengenang mereka yang pernah memberi sumbangannya kepada negara?

“Apakah ini maksudnya Satu Malaysia?” kata Marina di blognya Rantings by MM hari ini.

Akhbar tabloid harian itu menyifatkan filem-filem iklan Yasmin, selalunya pada musim perayaan, “yang penuh dengan suasana hidup 1Malaysia” – slogan yang yang dipromosikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sumber : MalaysiaKini

Reblog this post [with Zemanta]

Technorati Tags: , , , , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)