Ustaz Asri Rabbani Meninggal Dunia

Pemimpin Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Pantai (PMC), Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi semalam kerana sakit jantung.

Penyanyi utama kumpulan itu pengsan kira-kira 10.30 pagi setelah 20 minit menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri dan seterusnya dikejarkan ke hospital swasta itu.

Menurut Mohd Asri Ubaidullah, seorang anggota Rabbani yang ditemui di hospital itu, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh.

Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambahnya.

Sewaktu tiba di stesen RTM untuk program tersebut, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut – yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan tidak lama lagi.

“Pada kira-kira jam 10.30 beliau jatuh pengsan. Tapi ambulans tiba agak lewat, kira-kira 20 minit selepas itu. Apabila sampai ke hospital beliau sudah disahkan meninggal dunia,” kata Mohd Asri.

Seorang lagi anggota Rabbani, Mohamad Afandi Shahbudin, berkata jenazah beliau akan dikebumikan di Bukit Lancong dekat Shah Alam petang ini.

Seorang saudara angkat allahyarham Shariman Wahab, berkata beliau antara individu terakhir yang dihubungi oleh allahyarham, yang mengadu berasa letih dan sedih dalam perbualan telefon mereka pagi ini.

Menurutnya lagi, allahyarham pernah tinggal bersama keluarganya di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya selama kira-kira 15 tahun sebelum ini.

Adik ipar allahyarham Adha Buyong dilaporkan berkata Asri menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Ibu allahyarham, yang berkerusi roda, kelihatan masuk ke Hospital Pantai, jam 1 tengah hari, diikuti ahli keluarga lain termasuk balu allahyarham Haliza Shahzan, 38.

Sebelumnya, turut menziarahi jenazahnya di situ, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya bersama pegawai-pegawai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta rakan-rakan artis termasuk Amy Search, Yassin dan Nash.

Penerbit dan Penyelaras Program Syahaddah, Ibrahim Zaidi Ismail berkata beliau terkejut melihat penyanyi kumpulan nasyid popular Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim tiba-tiba jatuh sebelum program itu bermula.

“Kira-kira pukul 10.30 Asri masuk ke dalam studio. Sebelum kejadian Asri sedang memegang mikrofon, bagaimanapun beberapa saat sebelum program bermula dia rebah ke lantai,” katanya, sebak.

Beliau berkata kematian Asri meninggalkan kesan kepadanya kerana hari ini adalah hari pelancaran program Syahaddah sempena bulan Ramadan.

“Tahun ini merupakan tahun kelima Asri terlibat dalam program kita. Beliau dipilih sebagai penyeri majlis dan sebagai penyanyi untuk menyanyikan lagu tema program Syahaddah.

“Saya akan ingat tarikh hari ini sampai bila-bila,” katanya.

Pemuzik terkenal tanahair dan bekas pengetua Akademi Fantasia musim kedua dan keenam, Ramli MS berkata pemergian Asri merupakan satu kehilangan besar terhadap industri muzik nasyid negara.

“Susah bagi sesuatu muzik atau lagu itu untuk masuk ke telinga saya. Tetapi bila beliau menyanyi, saya sememangnya nak dengar alunan suaranya… ternyata nyanyian Ustaz Asri boleh mengasyikkan telinga saya dan sedap didengar,” katanya, yang mengenali allahyarham sejak tahun 1980-an lagi.

Ramli berkata allahyarham bukan sahaja bagus di bidang nyanyian tetapi juga mampu membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan baik.

“Beliau adalah seorang yang boleh kita jadikan contoh yang terbaik… dari segi perangai dan kelakuan, beliau sememangnya amat menyenangkan hati sesiapa sahaja,” kata Ramli.

Penyanyi lagu ‘Pergi tak kembali’ itu lahir pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor dan menyertai Rabbani sejak ia ditubuhkan pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai lapan lagi anggota.

Beliau, yang mempunyai enam anak, sebelum itu bersama satu lagi kumpulan nasyid terkenal Nadamurni.

Selain Asri dan Mohd Asri, kumpulan nasyid itu turut disertai Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman.

Lebih 12 tahun dalam industri ini, Rabbani menghasilkan 19 album, antaranya Arah: Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru Nostalgia Nadamurni.

Allahyarham dalam coretan terakhir di blognya (asrirabbani.blogspot.com) mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menjayakan konsert terakhirnya di Stadium Malawati, Shah Alam, 28 Februari lalu.

Pencapaian kumpulan itu, yang bernadikan Asri, termasuklah beberapa anugerah utama industri muzik – album nasyid terbaik selama tiga tahun dan album terbaik (2001).

Sumber : MalaysiaKini

Technorati Tags: , , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)