Timbalan Menteri Letak Jawatan Lagi

Kabinet baru Pak Lah nampaknya bergegar lagi apabila hanya baru seminggu dilantik, Datuk Abdul Ghapur Salleh telah melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Surat peletakan jawatan pemimpin Umno itu dikirim semalam kepada Perdana Menteri dan berkuatkuasa serta-merta.

Perkembangan mengejutkan ini satu lagi tamparan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sering dipersalahkan atas keputusan buruk BN dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Menurut beberapa laporan media, peletakan jawatan Abdul Ghapur adalah kerana tidak mahu terikat dengan tugas sebagai timbalan menteri kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada penduduk di Kalabakan dan keluarga. Dilaporkan juga terdapat percubaan untuk menekannya agar menarik balik surat peletakan jawatan beliau.

Ahli parlimen Kalabakan yang menang tanpa bertanding dalam pilihanraya umum lalu ini mengikut jejak dua lagi ahli parlimen Umno yang enggan menerima jawatan timbalan menteri selepas nama mereka diumumkan dalam barisan kabinet pada 18 Mac.

Ahli parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, menolak jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan. Manakala ahli parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, menolak jawatan Timbalan Menteri Luar. Difahamkan penolakan seumpama ini dipercayai pertama kali berlaku. Setakat ini Perdana Menteri belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan.

Selain itu, pemilihan kabinet 2008 menularkan perasaan kurang senang yang meluas di beberapa negeri dan dalam kalangan beberapa tokoh Umno. Sehari selepas pengumuman kabinet, ahli parlimen Kangar Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad melepaskan jawatan setiausaha agung Umno dan BN susulan penggugurannya daripada kabinet. Datuk Seri Rafidah Aziz, wakil Kuala Kangsar pula melahirkan rasa terkejut apabila tidak dilantik semula.

Diiringi dengan kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu masih belum selesai nampaknya Pak Lah terpaksa menghadapi berbagai rintangan untuk mempertahankan kepimpinan beliau apabila semakin ramai pihak yang tidak bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti ke tahun hadapan.

Technorati Tags: , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)