Terengganu Urus Royalti Minyak

Kerajaan Persekutuan akhirnya telah bersetuju untuk mengembalikan wang royalti minyak sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu. Pemberian wang royalti ini akan dilaksanakan setelah segala perincian mengenai syarat-syarat terhadap perkara berkenaan ditetapkan.

platform minyakKerajaan Terengganu sebelum ini telah meminta Kerajaan Persekutuan untuk menyerahkan semula hak pengurusan wang royalti minyak yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada kerajaan negeri untuk digunakan bagi projek-projek pembangunan rakyat.

Kementerian Kewangan pada 5 September 2000 telah menggantikan bayaran royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu dengan program wang ihsan. Wang itu disalurkan terus melalui projek pembangunan dan bukannya melalui kerajaan negeri apabila PAS memerintah Terengganu selepas pilihanraya umum 1999.

Perkara ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Primula Beach Resort di Kuala Terengganu selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin Umno Terengganu. Beliau di sana dalam rangka lawatan sehari ke Terengganu.

Mengulas lanjut, Abdullah berharap dengan pemberian semula royalti minyak itu, kerajaan Terengganu dapat menguruskan wang berkenaan dengan baik dan membuat perbelanjaan berhemah dalam melaksanakan projek-projek pembangunan di negeri itu.

“Saya yakin boleh (kerajaan Terengganu uruskan wang royalti itu dengan baik). Kalau kita dah ada wang, pandai-pandailah uruskan kerana kita akan menghadapi pelbagai situasi yang memerlukan perbelanjaan yang kadang-kala lebih daripada kita jangkakan.

“Kalau duit sudah habis, perbelanjaan itu tidak merupakan perbelanjaan yang berhemah, maka kita yang akan menghadapi banyak masalah. Maka dengan itu, pentadbiran dan perbelanjaan yang berhemah mestilah menjadi amalan kita. (sama ada) masa susah atau pun senang,” katanya.

Baru-baru ini, Dewan Rakyat telah diberitahu kerajaan Pusat telah menyalurkan wang ihsan kepada kerajaan Terengganu bagi tempoh tiga tahun sejak Mac 2004 hingga Mac 2007 berjumlah RM7.364 bilion.

Technorati Tags: , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)