Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa Penghuni Mula Dibenarkan Kembali Ke Rumah

Beberapa kawasan perumahan berhampiran kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur selamat untuk diduduki segera manakala beberapa lagi masih memerlukan penilaian tentang tahap keselamatannya.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya (JKR) merumuskan bahawa status keselamatan di lima kawasan “merah” sebelum ini adalah selamat dan boleh diduduki penghuni pada bila-bila masa.

Kawasan tersebut ialah:

  1. Jalan Bukit Antarabangsa
    5 unit rumah – rumah nombor 1 hingga no 5
  2. Jalan Bukit Mewah 2
    30 unit rumah – rumah nombor 5 hingga 38
  3. Jalan Wangsa 11
    38 unit rumah – rumah nombor 2 hingga 76
  4. Kondominium Impian Selatan
    Keseluruhan Blok A – 81 unit
    Keseluruhan Blok B – 28 unit
  5. Jalan BJ, 6A Taman Bukit Jaya
    6 unit – rumah nombor 1, 3, 5, 7, 9 dan 11

Ketika mengumumkan laporan keselamatan kawasan tanah runtuh itu di Subang Jaya di sini hari ini, beliau berkata jumlah penduduk yang boleh memasuki semula kediaman masing-masing pada bila-bila masa melibatkan antara 400 dan 500 penghuni.

“Di kawasan yang boleh dimasuki serta-merta, polis akan mengiringi penduduk sehingga ke rumah mereka,” kata Khalid, yang juga Ketua Operasi Bencana Alam tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa itu yang berlaku pada kira-kira pukul 4 pagi, 6 Dis lepas, mengakibatkan 14 buah banglo ranap di Bukit Mewah dan empat orang terkorban.

Khalid berkata penilaian itu dibuat setelah mengambil kira penilaian geoteknik kestabilan cerun dan integriti struktur bangunan.

Beliau berkata penduduk di beberapa kawasan perumahan pula tidak dibenarkan pulang ke kediaman mereka itu untuk tempoh sebulan, yang melibatkan Kondominium Impian Selatan (Blok B1) dan tiga unit rumah di Jalan Wangsa 11 (nombor 78, 80 dan 82).

“Bagi kawasan lain, penduduk hanya boleh masuk ke rumah mereka pada satu tempoh tertentu sehingga kerja-kerja pemulihan, pembaikan cerun dan kerja-kerja lain di kawasan tanah runtuh siap 100 peratus,” katanya.

Dianggarkan 1,000 penduduk masih tidak boleh menduduki kediaman mereka sehingga kawasan perumahannya diisytiharkan selamat untuk diduduki, kerana Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR masih menjalankan penilaian ke atas kedudukan tanah di kawasan yang tidak selamat, tambah beliau.

Beliau berkata pihak keselamatan akan terus mengawal rumah-rumah yang masih belum boleh diduduki.

Khalid berkata laporan itu, yang diterimanya semalam, diumumkan setelah mengadakan perbincangan dan persetujuan daripada Jawatankuasa Teknikal Tanah Runtuh JKR, Jabatan Mineral, Jabatan Meterologi, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah dan persatuan penduduk.

Beliau berkata polis akan menampal notis laporan JKR itu di beberapa lokasi strategik di Bukit Antarabangsa yang boleh diakses oleh penduduk.

Sumber: Bernama

Technorati Tags: , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)