Tan Hoon Cheng Dibebaskan

Wartawan kanan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dibebaskan petang tadi dan kini berada di rumahnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Tan Hoon ChengDifahamkan, dia dibebaskan dari sebuah balai polis di Ipoh pada kira-kira jam 2.30 petang, dan dihantar pulang ke rumahnya oleh pihak polis.

Tan, 33, ditahan pada jam 8.30 malam tadi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut Tan, dia dihantar pulang oleh polis ke rumahnya di Taman Muhibbah pada jam 4 petang dari Ipoh. Sebaik sahaja tiba, Tan terus memeluk ibunya yang berusia 65 tahun.

Wartawan kanan Sin Chew Daily itu berkata, dia memberi kenyataan kepada polis di beberapa buah balai yang berlainan di Pulau Pinang dan Perak sepanjang hampir 16 jam berada dalam tahanan polis.

Katanya, dia telah memberi maklumat kepada polis mengenai isu-isu tertentu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun, Tan membayangkan yang dia disoalsiasat oleh polis mengenai ucapan ketua Umno Bukit Bendera yang digantung dan dilucut jawatannya, Datuk Ahmad Ismail sewaktu pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Kontroversi tercetus selepas Tan melaporkan ucapan Ahmad yang didakwa berbaur perkauman.

Tan tetap menegaskan bahawa apa yang ditulisnya mengenai ucapan Ahmad adalah apa yang didengarnya ketika beliau (Ahmad) berceramah.

“Saya tidak mereka fakta. Apa yang saya tulis adalah betul-betul apa yang saya dengar darinya,” kata Tan.

‘Saya tidak akan berhenti’

Tan Hoon ChengBila ditanya sama ada dia kini merasa takut dan akan berhenti menjadi wartawan, jawapannya adalah ‘Tidak’.

“Saya tidak akan berhenti menulis.

“Saya akan terus berkhidmat sebagai seorang wartawan yang bebas dan adil,” katanya kepada pemberita di rumahnya selepas dibebaskan dari ISA.

Sebelum ini, dia dikatakan telah dibawa ke Bukit Aman di Kuala Lumpur, selepas ditahan malam tadi.

Bagaimanapun, dia tidak pernah sampai ke Bukit Aman, tetapi hanya dibawa sejauh Ipoh sahaja.

“Saya tidak tahu mengapa saya ditahan di bawah ISA,” katanya mengulas mengenai penahanannya itu yang menggemparkan masyarat wartawan di Pulau Pinang malam tadi.

Satu majlis memasang lilin telah diadakan malam tadi di Pulau Pinang dan ibupejabat polis daerah Seberang Perai Tengah sebagai membantah penahanan Tan.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan beberapa ahli Parlimen, pemimpin Gerakan dan MCA mendesak pihak berkuasa supaya membebaskan Tan, ahli parlimen DAP, Teresa Kok dan blogger Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan ISA.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata beliau telah dimaklumkan oleh pihak polis bahawa Tan telah dibebaskan pada jam 11.10 pagi dan telah dihantar pulang ke rumahnya di Bukit Mertajam pada jam 4 petang ini.

Dalam satu kenyataannya, Lim mengalu-alukan pembebasan Tan tanpa syarat itu dan berharap dua lagi tahanan – Teresa dan Raja Petra – juga akan dibebaskan.

Lim yang juga setiausaha agung DAP, menyifatkan pembebasan Tan tanpa syarat itu sebagai satu kemenangan rakyat dan hasil tekanan rakyat terhadap penggunaan undang-undang tersebut.

Katanya, rakyat Malaysia tidak boleh lagi menerima penggunaan ISA untuk mengekang kebebasan bersuara, kebebasan mendapatkan maklumat dan hak untuk membuat laporan yang tepat dan profesional seperti yang dilakukan oleh Tan.

Lim berkata, Tan menjadi kebanggaan kerana telah mempertahankan tugas profesionalnya sebagai seorang wartawan.

Tan Hoon Cheng“Kita akan menumpukan tenaga kita untuk mendapatkan kebebasan Teresa dan Raja Petra serta tahanan-tahanan yang lain,” katanya.

Ketua menteri Pulau Pinang itu juga menyatakan penghargaannya kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob atas bantuan yang diberikannya.

Pembebasan Tan telah dijangkakan selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar membayangkan bahawa beliau mungkin dibebaskan hari ini.

Bercakap di Johor Bahru pagi tadi, Syed Hamid berkata, penahanan Tan di bawah ISA adalah sebahagian daripada langkah perlindungan kerajan bagi “memastikan keselamatannya”.

Sementara itu, ketika bercakap dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman petang tadi, Syed Hamid mengesahkan pembebasan wartawan Sin Chew Daily itu.

Syed Hamid berkata penahanan Tan adalah sebahagian daripada tindakan segera polis bagi menjamin keselamatannya selepas beliau menerima panggilan ugutan.

Beliau berkata risikan polis mendapati nyawa wartawan itu terancam selepas beliau membuat laporan berita yang memetik kenyataan kontroversi bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail yang berbau perkauman dalam satu kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh bulan lalu sehingga menimbulkan polemik politik di negara ini.

“Beliau adalah orang pertama yang menyiarkan laporan berhubung kenyataan (bekas) ketua Umno Bahagian Bukit Bendera (Datuk) Ahmad Ismail yang didakwa berbau perkauman, maka kami perlu menangani isu ini dengan sebaik-baiknya.

“Kami tidak mahu apa-apa berlaku terhadap wartawan ini apabila terdapat ancaman terhadap nyawanya,” katanya dalam sidang akhbar tersebut.

Sumber: MalaysiaKini

Reblog this post [with Zemanta]

Technorati Tags: , , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)