Situasi Swine Flu Atau Selesema Babi Setakat 29 April

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan situasi wabak Swine Influenza A/H1N1 terus merebak dengan cepat. Sehingga 18:00 GMT @ 29 April 2009, sembilan negara telah melaporkan kejadian wabak Swine Influenza A/H1N1 dimana Amerika Syarikat melaporkan 91 kes yang disahkan melalui ujian makmal, dengan satu (1) kematian. Mexico pula melaporkan 26 kes positif ujian makmal Swine Influenza A/H1N1 termasuk 7 kematian. Negara-negara lain yang melaporkan kes positif ujian makmal Swine Influenza A/H1N1 ialah Kanada (13 kes), UK (5 kes), Sepanyol (4 kes), New Zealand (3 kes), Jerman (3), Israel (2 kes) dan Austria (1 kes), tiada kematian dilaporkan di negara-negara berkenaan.

WHO telah meningkatkan tahap amaran Influenza Pandemik daripada Fasa 4 kepada Fasa 5 semenjak 29 April 2009 di mana virus yang sama telah menyebabkan wabak yang berterusan di dua atau lebih Negara dalam satu rantau WHO. Pengisytiharan Fasa 5 adalah isyarat jelas bahawa virus yang mengancam nyawa ini berkemungkinan besar menyebabkan pandemik pada bila-bila masa sahaja dan masa yang masih ada untuk melengkapkan persediaan dari segi organisasi, komunikasi dan pelaksanaan pelan tindakan pengurangan risiko (mitigation plan) adalah sangat singkat.

Sehingga kini, WHO menyarankan TIADA sebarang tindakan sekatan dari segi kesihatan, perjalanan, dan perdagangan yang perlu dilakukan oleh setiap negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa. Namun begitu, orang awam yang mengalami tanda-tanda jangkitan terutamanya demam, batuk, selsema dan sakit tekak dinasihatkan untuk menangguhkan lawatan antarabangsa dan mereka yang mengalami tanda-tanda berkenaan semasa melakukan lawatan antarabangsa dinasihatkan untuk mendapat rawatan.

Beberapa saranan tambahan daripada WHO meliputi amalan kebersihan diri terutama sekali membasuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, lebih-lebih lagi selepas batuk dan sekiranya mengalami gejala ‘influenza-like illness’, sila dapatkan rawatan perubatan dengan segera. Disamping itu, tiada risiko mendapat jangkitan Swine Influenza sekiranya daging atau produk babi disediakan atau dimasak secara betul.

Di Malaysia, sehingga kini tiada kes yang disyaki memenuhi kriteria penyakit Swine Influenza. Tiada peningkatan kes dan kes berkelompok (cluster) yang dilaporkan berdasarkan survelan `influenza-like illness’.

Mengenai seorang lelaki yang disyaki mendapat jangkitan Swine Flu susulan lawatannya ke luar negara baru-baru ini, beliau telah mendapatkan rawatan dan diletakkan di bawah pemerhatian di Hospital Sungai Buloh. Walaubagaimanapun, ujian makmal mengesahkan beliau negatif jangkitan tersebut.

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Influenza Pandemik yang melibatkan pelbagai agensi yang berkaitan yang diadakan pada 29 April 2009 telah membincangkan dengan lebih lanjut mengenai langkah pencegahan dan kawalan yang lebih bersepadu. Antara keputusan yang diambil adalah:

  1. Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri telah mengaktifkan Bilik Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak Swine Influenza dengan pihak WHO bagi memastikan tindakan-tindakan proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia.
  2. Meningkatkan tahap waspada kepada semua peringkat kemudahan kesihatan termasuk kemudahan kesihatan swasta dan kerajaan agar meningkatkan pemantauan ‘influenza-like illness’.
  3. Pemberian vaksin influenza bermusim (seasonal influenza vaccine) kepada anggota yang bertugas di barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis dan anggota imigresen sebagai langkah berjaga-jaga.
  4. Meningkatkan tahap persediaan di semua 28 hospital yang telah dikenalpasti (designated hospitals) di seluruh negara, bagi menerima kemasukan kes disyaki Swine Influenza. Persediaan ini meliputi aspek pengasingan pesakit, kawalan infeksi dan simpanan stok antiviral.
  5. Kesemua sembilan pusat simpanan stok antiviral di seluruh negara diminta untuk bersiap sedia bagi memastikan proses penghantaran antiviral, iaitu Tamiflu dan Relenza berjalan lancar sekiranya diperlukan.
  6. Saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa yang menerima kemasukan pelancong daripada negara-negara yang dilanda wabak Swine Flu telah dipertingkatkan di mana mereka disaring dan diberi Health Alert Card dan Health Declaration Form.
  7. Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah dikenalpasti sebagai makmal rujukan dan telah bersiap sedia menerima spesimen daripada kes yang disyaki Swine Influenza.
  8. Mesyuarat Teknikal Influenza Pandemik telah ditetapkan untuk diadakan secara lebih kerap bergantung kepada keadaan wabak ini.
  9. Kementerian Penerangan akan memberikan kerjasama kepada pihak Kementerian Kesihatan dalam menyalurkan nasihat-nasihat kesihatan kepada orang awam melalui media cetak dan elektronik. Ini juga meliputi media massa swasta.
  10. Jabatan Perkhidmatan Haiwan juga memaklumkan akan meningkatkan pemantauan di ladang-ladang ternakan babi termasuk memberikan suntikan vaksin kepada ternakan tersebut.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi talian 03 8881 0200 atau 03 8881 0300 atau melayari laman web Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.my.

Reblog this post [with Zemanta]

Technorati Tags: , , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)