Sidang Parlimen Ke 12 Bermula

The Dewan Rakyat meets at the Houses of Parliament in Kuala Lumpur.Pada hari Isnin 28 April 2008 semua Ahli Parlimen telah mengangkat sumpah jawatan dan pada 29 April 2008 pula Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Watiqubillah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah telah merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-12.

Baginda telah bertitah meminta ahli-ahli Dewan Rakyat yang terpilih supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, ikhlas, jujur serta sentiasa menunjukkan tingkah laku yang terpuji demi maruah diri dan negara.

Baginda juga dengan tegas meminta ahli-ahli Parlimen menjadikan Dewan Rakyat sebagai persada untuk menyampaikan teguran yang membina dan pendapat-pendapat yang bernas dan hendaklah menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan dewan yang mulia ini bagi kepentingan politik individu.

Anwar Ibrahim and Wan AzizahDewan Rakyat kali ini menyaksikan kehadiran 99 muka baru daripada keseluruhan 222 wakil rakyat. Manakala jumlah anggota pembangkang pula meningkat empat kali ganda iaitu seramai 82 orang berbanding pada penggal yang lalu hanya 20 orang.

Di dewan kali ini pembangkang membariskan hampir keseluruhan pemimpin utamanya – presiden/pengerusi parti, timbalan presiden/timbalan pengerusi, naib-naib presiden/pengerusi serta setiausaha agung masing-masing. Begitu juga dengan barisan ketua-ketua pemuda dan wanita/muslimat parti pembangkang turut sama berada di dalam Parlimen.

BN pula terdapat beberapa muka baru yang bakal menjadi tumpuan, mereka termasuklah anak bekas Perdana Menteri, Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaludin, Dr. Mohd Puad Zarkashi, Razali Ibrahim dan Chua Tee Yong. Di samping beberapa muka baru pihak pembangkang seperti Tian Chua, Azmin Ali dan Nurul Izzah Anwar.

Mereka yang pernah berada di dalam Dewan tetapi terkeluar pada penggal yang lalu dan kali ini kembali semula pasti akan menggunakan pengalaman yang ada untuk mengambil bahagian lebih aktif. Antara mereka termasuklah Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Timbalannya Nasharuddin Mat Isa, Ketua Penerangan Mahfuz Omar, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Taib Azamuddin Mohd Taib, bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas,Ibrahim Ali, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Wee Choo Keong.

Lim Guan EngAntara Ahli Parlimen lain yang dijangka mencuri tumpuan kali ini ialah Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya Utara), yang juga penasihat ekonomi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Sebelum ini beliau memegang jawatan Ketua Eksekutif sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Singapura. Beliau berkelulusan jurusan Politik, Falsafah dan Ekonomi dari Kolej Keble, Universiti Oxford.

Mohd Hatta Ramli (Pas-Kuala Krai) adalah bekas doktor perubatan dan bekas Setiausaha Politik pemimpin veteran Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor. Beliau yang kini memegang jawatan Bendahari Pas, adalah bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan banyak pengalaman mengupas pelbagai isu semasa.

Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) pula adalah bekas Senator di Dewan Negara dan terkenal sebagai pemidato yang bernas menyampaikan hujah. Ketua Umno Bahagian Batu Pahat itu menjadi aset kepada BN di Dewan Rakyat.

Tidak kurang juga aktivis masyarakat yang terpilih sebagai wakil rakyat pada pemilihan kali ini dan di kalangan mereka, Sivarasa (PKR-Subang) adalah antara yang terkenal. Beliau, yang juga seorang peguam, adalah pengasas bersama Suara Rakyat Malaysia (Suaram), pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi manusia.

Wan AzizahGandingan muka lama dan baru pada kali ini tentu akan mencetuskan suasana yang lebih meriah di dalam Dewan Rakyat. Persidangan kali ini juga pasti lebih mencabar dan menuntut perhatian yang lebih dari segi kehadiran serta perbahasan yang lebih bermutu.

Di samping itu sebahagian besar pihak pembangkang yang menjadi ahli Dewan Rakyat kali ini sudah lama menjadi aktivis sosial dan beberapa kali bertanding dalam pilihan raya umum tetapi baru kali pertama menang. Justeru, sudah pasti mereka amat bersemangat.

Buat pertama kali juga persidangan Dewan Rakyat ini akan disiarkan secara langsung selama setengah jam oleh RTM setiap hari bagi sesi soal jawab. Ini memberi peluang kepada orangramai melihat sejauh mana tingkah laku dan keupayaan wakil-wakil rakyat yang dipilih pada 8 Mac lalu bertindak. Begitu juga dengan Menteri Kabinet dan timbalan mereka mengambil bahagian setelah mereka tidak lagi dibantu oleh setiausaha Parlimen.

Technorati Tags: , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)