PKR & Raja Petra Diperintah Bayar RM7 Juta

Pada tahun lepas telah heboh dunia siber apabila syarikat akhbar New Straits Times Press (Malaysia) Berhad dan beberapa orang pegawai kanannya, Syed Faizal Syed A.R.Albar (Chief Executive Officer), Kalimullah Masheerul Hassan (Deputy Chairman), Hishamuddin Aun (Group Editor in Chief) dan Brenden John a/l John Pereira (bekas Group Editor) telah menyaman dua orang blogger iaitu Ahirudin Atan pengendali Rocky’s Bru dan Jeff Ooi pengendali Screenshots.

Semalam seorang penulis blog popular, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan akhbar parti itu diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM7 juta kepada Tan Sri Nordin Kardi, naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) dan UUM dalam satu kes saman fitnah.

Raja Petra diperintah membayar gantirugi am sebanyak RM2 juta kepada Dr Nordin dan RM2 juta lagi kepada UUM. Ketua pengarang akhbar Suara Keadilan pula dikenakan hukuman membayar gantirugi am sebanyak RM1 juta kepada Dr Nordin dan sebanyak RM500,000 lagi kepada UUM.
Manakala editor akhbar itu pula diperintahkan membayar gantirugi am berjumlah RM1 juta kepada Dr Nordin dan RM500,000 kepada UUM.

Timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Star, Priscilla Gengadaran memerintah Raja Petra Kamaruddin, PKR ketua pengarang serta editor akhbarnya Suara Keadilan membayar jumlah itu kepada Tan Sri Nordin Kardi dan UUM.

Mahkamah memutuskan Raja Petra, sebagai defendan pertama, memfitnah Nordin dan UUM apabila menerbitkan di blognya Malaysia Today pada 16 Disember 2006 dalam artikel bertajuk “Dato Dr. Nordin Kardi ciplak karya saya? Mohon penjelasan”. PKR pula sebagai defendan kedua, dan akhbar Suara Keadilan didakwa menyiarkan artikel bertajuk “NC UUM Penciplak” pada 27 Disember 2006.

Menurut Bernama, artikel itu mendakwa Dr Nordin telah menciplak satu tulisan bekas presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu Muhtar Suhaili yang bertajuk “Mahasiswa dan Tanggungjawab Mengurus Kejayaan”. Dr Nordin menafikan dakwaan menulis rencana itu dan meminta Raja Petra serta akhbar terbabit memohon maaf kepada naib canselor dan UUM.

Raja Petra dan Suara Keadilan tidak memohon maaf.

Penghakiman tersebut dikeluarkan setelah kesemua defendan gagal menghadirkan diri atau membawa peguam bela ke mahkamah.

Reaksi awal pembaca blog Malaysia Today boleh di baca di Raja Petra dan Suara Keadilan diperintah bayar RM7 juta.

Technorati Tags: , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)