Pilihanraya Umum 2004

Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah berkenan membubarkan Parlimen pada 4 Mac 2004 dan diikuti dengan pembubaran Dewan-dewan Undangan Negeri pada tarikh yang sama oleh Duli- Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Bagi Dewan Undangan Negeri masing-masing, kecuali bagi Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Dengan pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, sejumlah 219 kerusi Dewan Rakyat dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh negara telah menjadi kosong, kecuali 62 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengadakan Pilihan Raya Umum Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi negeri-negeri di Semenanjung dan Negeri Sabah pada 21 Mac 2004. Pilihan Raya Umum untuk Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi Semenanjung adalah kali Ke -11, manakala Pilihan Raya Umum Parlimen bagi Negeri Sabah dan Negeri Sarawak kali yang Ke-9 dan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah yang Ke-10.

Urusan Penamaan Calon telah diadakan pada 13 Mac 2004. Sebanyak 219 Pusat Penamaan Calon telah dibuka, iaitu di setiap Bahagian Parlimen di seluruh negara. Proses Penamaan Calon bagi calon-calon Parlimen dan calon-calon Dewan Undangan Negeri dijalankan serentak pada hari tersebut.

Sebanyak 7,328 pusat mengundi dengan 19,833 tempat mengundi telah dibuka untuk kemudahan orang ramai mengundi pada Hari Pengundian. SPR telah menetapkan saluran tempat mengundi mempunyai had maksimum seramai 700 pemilih kecuali saluran pertama yang dikhaskan untuk pemilih-pemilih warga emas yang dikurangkan kepada 300 pemilih sahaja. Di kawasan pedalaman di mana jumlah pemilihnya kecil, maka jumlah pemilih yang ditetapkan di satu-satu saluran tertakluk kepada jumlah pemilih di dalam Daerah Mengundi berkenaan, iaitu had minimumnya seramai 50 pemilih bagi Negeri Sabah dan 30 pemilih bagi Negeri Sarawak. Jumlah saluran di satu-satu pusat mengundi bergantung kepada jumlah pemilih di dalam Daerah Mengundi berkenaan.

Urusan pengiraan undi pos dan undi biasa dijalankan selepas proses pengundian ditutup pada jam 5.00 petang. Di tempat-tempat tertentu kawasan pedalaman dimana tempat-tempat mengundi ditutup lebih awal mengikut waktu yang ditetapkan oleh SPR, pengiraan tidak boleh dimulakan sebelum jam 5.00 petang. Dalam Pilihan Raya ini bagi semua pusat mengundi di Negeri Selangor ekoran dari pelanjutan masa mengundi selama 2 jam (sehingga 7 petang), pengiraan undi di pusat-pusat mengundi itu dijalankan selepas pengundian ditutup.

Sebanyak 219 pusat penjumlahan rasmi undi telah dibuka, iaitu satu pusat penjumlahan rasmi undi bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen di seluruh negara. Semua kertas undi telah dikira, sama ada di tempat pengundian atau di pusat pengiraan undi berkelompok atau pengiraan undi pos. Peti-peti undi yang mengandungi kertas-kertas undi bersama borang keputusan berkenaan dibawa oleh Ketua Tempat Mengundi atau oleh Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi bahagian pilihan raya yang berkenaan.

Seramai 418 calon yang mewakili sembilan parti politik dan 31 orang calon Bebas telah bertanding untuk merebut 219 kerusi Dewan Rakyat. Daripada jumlah tersebut hanya calon-calon dari empat buah parti politik dan seorang calon Bebas sahaja yang berjaya memenangi kerusi yang dipertandingkan, iaitu Barisan Nasional (BN) 199 kerusi, Parti Tindakan Demokratik (DAP) 12 kerusi, Parti Islam Se Malaysia (PAS) 6 kerusi, Parti KeADILan 1 kerusi dan calon Bebas 1 kerusi. Parti-parti yang gagal memenangi sebarang kerusi yang dipertandingkan ialah Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Pertubuhan Kebangsaan Pasok Nunukragang Bersatu (PASOK), Parti Demokratik Malaysia (MDP) dan Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR)

Seramai 9,756,097 pemilih yang layak mengundi untuk memilih wakil-wakil ke Parlimen selepas ditolak jumlah pemlilih bagi bahagian-bahagian pilihan raya yang menang tanpa bertanding. Daripada sejumlah tersebut, seramai 7,209,948 pemilih atau 73.90% telah keluar mengundi.

Bagi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri, seramai 1,121 calon telah bertanding yang mewakili lapan buah parti politik, termasuk 86 orang calon Bebas untuk merebut 505 kerusi. Calon-calon dari tiga parti politik dan seorang calon Bebas sahaja, iaitu dari Barisan Nasional (BN) 453 kerusi, Parti Islam Se Malaysia (PAS) 36 kerusi, Parti Tindakan Demokratik (DAP) 15 kerusi dan seorang calon Bebas yang berjaya memenangi kerusi yang dipertandingkan. Calon-calon dari Parti Barisan Rakyat Sabah Bersekutu (BERSEKUTU), Pertubuhan Kebangsaaan Pasok Nunukragang Bersatu (PASOK) dan Parti Demokratik Setiasehati Kuasa Rakyat Bersatu Sabah (SETIA) gagal memenangi sebarang kerusi.

Seramai 8,488,996 pemilih yang layak mengundi untuk memilih wakil-wakil ke Dewan-dewan Undangan Negeri selepas ditolak jumlah pemillih bagi Bahagian-bahagian Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri yang menang tanpa bertanding. Daripada jumlah tersebut, seramai 6,365,985 pemilih atau 74.99% telah keluar mengundi.

Keputusan Pilihan Raya Umum 2004 telah dipersembahkan secara rasmi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya pada 22 Mac 2004 jam 10.00 pagi di Istana Negara, Kuala Lumpur diiringi oleh Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya.

Keputusan Pilihan Raya Umum 2004 bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri telah diwartakan melalui P.U.(B) 163 pada 12 April 2004.

Bilakah Pilihan Raya Umum 2008 atau Pilihan Raya Umum ke 12 akan diadakan?

Technorati Tags: , , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

Ramai yang jangka pilihanraya ke 12 akan diadakan pada 1 Mac dan Parlimen akan dibubarkan pada 13 Feb. Setakat ini Pak Lah menafikannya.

Leave a comment

(required)

(required)