Parlimen Dibubarkan 13 Februari

Parlimen Malaysia telah dibubarkan berkuatkuasa pada 13 Februari 2008 bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke 12 diadakan. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan pembubaran itu pada satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak juga dibubarkan pada masa yang sama supaya pilihan raya negeri boleh diadakan serentak. Pembubaran yang telah mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong Tunku Mizan Zainal Abidin dilakukan 15 bulan lebih awal kerana penggal lima tahun Parlimen sepatutnya berakhir pada 16 Mei 2009 depan,

Mengikut Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum 1969, proses demokrasi itu berlangsung dalam tempoh 16 hingga 20 hari sahaja. Pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac 2004, hari penamaan calon dan hari pengundian berlangsung dalam tempoh 17 hari dari tarikh pembubaran.

Pilihan raya umum kali ini akan menyaksikan sejumlah 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri akan dipertandingkan. Pada pilihan raya umum 2004, sejumlah 219 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri menjadi rebutan. Ketika itu BN telah menguasai 199 kerusi di Dewan Rakyat manakala pembangkang 20 kerusi, iaitu DAP 12 kerusi, PAS enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat dan Bebas masing-masing satu kerusi. Manakala di Dewan Undangan Negeri, BN memegang 453 kerusi, PAS 36 kerusi, DAP 15 kerusi dan Bebas 1 kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menyatakan bahawa terdapat kira-kira 10.9 juta pemilih berdaftar, termasuk kira-kira 700,000 pengundi baru, yang layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini. Suruhanjaya Pilihan Raya juga akan memperkenalkan peti undi lutsinar dan dakwat kekal dalam urusan pengundian.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat bagi menetapkan tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian bagi pilihan raya umum ke 12.

Technorati Tags: , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)