Musa Saman Anwar

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan Isnin memfailkan saman malu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung laporan polis terhadapnya atas dakwaan memalsukan keterangan dalam kejadian “mata lebam” 10 tahun lepas.

Tan Sri Musa HassanSaman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur melalui peguamnya Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Redzua Merican.

Musa menuntut gantirugi am, gantirugi teladan dan gantirugi teruk , faedah sebanyak lapan peratus, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh Mahkamah. Jumlah gantirugi tidak dinyatakan di dalam pernyataan tuntutannya.

Kamarul Hisham berkata writ saman itu akan diserahkan kepada Anwar secepat mungkin selepas pihaknya menerima salinan writ saman yang telah dimeterai oleh mahkamah.

Selain gantirugi, Musa juga memohon satu perintah injunksi menghalang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau ejennya daripada mengulangi menerbit perkataan-perkataan berunsur fitnah itu, katanya kepada pemberita.

Dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor pada 1 Julai lepas, Anwar berkata Musa dan Abdul Gani telah mereka-reka keterangan serta menyembunyikan fakta dalam siasatan serangan fizikal terhadapnya oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor daripada pengetahuan umum sehingga matanya yang lebam didedahkan di mahkamah.

Bernama melaporkan dalam laporan polis itu, Anwar telah memohon supaya siasatan dijalankan terhadap Musa dan Abdul Gani atas dakwaan pemalsuan bukti di mana kedua-dua mereka dikatakan telah secara aktif terlibat dalam penyediaan laporan perubatan kedua yang menyimpulkan kecederaan yang dialami Anwar tidak konsisten dengan pukulan secara langsung sebaliknya menyimpulkan kemungkinan kecederaan itu disebabkan oleh kemalangan.

Sedangkan, Anwar, di dalam laporan polisnya mendakwa kertas siasatan yang telah mengambil kira laporan perubatan pertama daripada pakar forensik Hospital Kuala Lumpur telah menyimpulkan kesan kecederaan yang dilakukan terhadapnya adalah konsisten dengan satu serangan fizikal.

Dalam pernyataan tuntutannya, Musa mendakwa perkataan-perkataan berunsur fitnah adalah tidak berasas, dan tidak benar, dan merupakan satu pemfitnahan yang teruk terhadapnya mengakibatkan reputasi, imej, ketulusan dan nama baiknya terjejas di kalangan masyarakat umum dan dalam kapasiti profesional beliau.

Musa menafikan beliau berkomplot mereka-reka keterangan palsu dan menyembunyikan fakta Anwar berhubung insiden serangan itu daripada masyarakat umum dan menyatakan beliau tidak pernah pada bila-bila masa mengarahkan supaya laporan perubatan kedua disediakan.

Musa juga berkata beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam apa cara dalam penyiasatan kes rasuah dan liwat terhadap Anwar.

Musa berkata Anwar telah secara berniat jahat membuat laporan polis itu terhadapnya dan Abdul Gani kerana laporan itu dibuat selepas Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis terhadap Anwar bahawa dia diliwat oleh Anwar.

Beliau berkata Anwar membuat laporan polis itu terhadapnya dan Abdul Gani untuk mengalihkan pandangan dan fokus masyarat umum daripada tuduhan liwat yang dibuat oleh Saiful terhadap Anwar.

Musa mendakwa laporan polis itu juga dibuat oleh Anwar untuk mempengaruhi masyarakat umum bahawa tuduhan liwat oleh Mohd Saiful terhadap Anwar adalah satu lagi konspirasi politik terhadapnya.

Katanya, laporan polis itu juga dibuat bagi memusnahkan kredibiliti bukti-bukti dan keterangan yang dikumpulkan pihak polis dan juga memusnahkan kredibiliti saksi-saksi sekiranya Anwar dituduh atas pertuduhan meliwat Saiful.

Musa berkata tohmahan lisan yang dibuat oleh Anwar dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Parti Keadilan pada hari yang sama sejurus selepas membuat laporan polis itu juga adalah tidak tepat dan tidak berasas dari segi fakta.

Katanya, beliau, melalui satu surat peguamcara telah meminta Anwar untuk menarik balik perkataan-perkataan fitnah dan tohmahan lisan itu serta permohonan maaf tetapi Anwar, telah dalam surat peguamcara menjawab dengan menafikan kesemua tuntutannya (Musa).

Musa berkata Anwar tidak mengendahkan surat tuntutan beliau (Musa) dan telah terus-menerus menerbitkan atau mengakibatkan penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu di laman-laman web dan laman weblog.

Technorati Tags: , , , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

wow… it’s been ten years and I was still a standard 5 kid during that time. I really hope that they can settle this very soon and start to overcome the inflation problem for us.

Leave a comment

(required)

(required)