Khairil Annas Nafi Dakwaan Ramlang Porigi

Pegawai timbalan perdana menteri, Prof Madya Khairil Annas Jusoh menafikan mengarahkan Ramlang Porigi, imam Masjid Wilayah Persekutuan, mengatur majlis sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 15 Ogos lepas.

Ustaz Ramlang Porigi di Permatang PauhBeliau berkata kenyataan yang dibuat oleh Ramlang, ketika membuat penjelasan di tengah-tengah kehangatan kempen pilihanraya kecil di Permatang Pauh, seperti dimuatkan dalam beberapa laporan bulan lepas “adalah tidak benar”.

Pegawai khas Datuk Seri Najib Razak itu merujuk kepada laporan “Najib dalang sumpah-Imam Ramlang Porigi” yang diterbitkan oleh Suara Keadilan edisi 27 Ogos lalu, rakaman video temuramah imam muda itu dengan Suara Keadilan Online pada 25 Ogos dan artikel “Siapa malu besar di Permatang Pauh” yang disiarkan akhbar mingguan Siasah edisi 31 Ogos.

Khairil Annas menuntut Ramlang membersihkan namanya dan menuntut dua akhbar itu pula membuat permohonan maaf secara terbuka, menarik balik laporan dan memperbetulkan semula kenyataan tersebut, lapor Bernama.

“Saya turut menuntut agar kenyataan akhbar itu diterbitkan di halaman utama kedua-dua penerbitan itu.

“Peguam-peguam saya sedang meneliti untuk mengambil tindakan berasaskan undang-undang dan saya merizabkan semua hak saya terhadap Ramlang dan kedua-dua akhbar tersebut,” beliau dilaporkan berkata dalam satu kenyataan.

“Kenyataan Ramlang melalui temuramah dan artikel yang disiarkan adalah amat tidak bertanggungjawab.

“Dakwaan beliau yang tidak benar itu telah menganiaya saya dan mencemarkan nama baik saya sebagai penjawat awam.”

Pegawai khas Najib itu berkata dua penerbitan itu tidak pernah berusaha mendapatkan komen daripadanya mengenai dakwaan Ramlang itu sebelum menerbitkan laporan masing-masing.

“Perkara yang tidak benar ini nyatanya telah mengelirukan masyarakat dan memberikan kesan negatif ke atas reputasi saya,” kata Khairil Annas.

Ustaz Ramlang Porigi di Permatang PauhMenurut laporan Bernama itu lagi, beliau turut menegaskan tidak pernah mengenali Ramlang, dan “tidak pernah pada bila-bila masa pun menghubungi, bertemu, berinteraksi atau bercakap dengan beliau.”

“Oleh itu, tuduhan Ramlang yang mendakwa bertemu saya di Masjid Wilayah Persekutuan dan bahawa sayalah yang mengatur dan menguruskan majlis sumpah Saiful adalah satu pendustaan,” kata Khairil Annas.

Beliau dilaporkan menambah, pada masa dan ketika Ramlang mendakwa bertemu dengannya di Kuala Lumpur, beliau sebenarnya berada di Pulau Pinang bersama anggota keluarga dan sahabat handai.

Ramlang antara saksi pada majlis sumpah Mohd Saiful di Masjid Wilayah Persekutuan yang mendakwa diliwat oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon parti itu dalam pilihanraya kecil kerusi parlimen itu 26 Ogos lepas.

Dua hari sebelum pengundian, Ramlang telah berucap di sesi ceramah pilihanraya Permatang Pauh Pakatan Rakyat bagi menjelaskan beliau tidak terlibat mengatur majlis sumpah laknat itu dan hadir selepas diarah “orang atasannya.”

Beliau turut mendakwa sumpah yang dibuat oleh Mohd Saiful itu tidak sah.

Sumber: Bernama dan MalaysiaKini

Reblog this post [with Zemanta]

Technorati Tags: , , , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)