Kes Liwat Anwar Kekal Di Mahkamah Sesyen

Kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen, selepas Hakim S M Komathy Suppiah memutuskan sijil pemindahan ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani Peguam Negara, tidak sah.

Anwar Ibrahim di Mahkamah Sesyen Jenayah 1Komathy membuat keputusan itu selepas mendapati sijil perakuan ditandatangani Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi adalah tidak sah mengikut Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah.

Beliau berkata, Abdul Gani tidak sepatutnya mencampuri kes liwat itu kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kenyataan akhbarnya pada 19 Julai lalu, sudah berjanji Peguam Negara tidak akan terbabit dalam kes liwat Anwar.

Katanya, mahkamah perlu mempertimbangkan sama ada janji yang dibuat Perdana Menteri itu memberikan harapan sah kepada Anwar bahawa Peguam Negara tidak akan terbabit dalam kes terhadapnya.

Komathy bagaimanapun berkata keputusannya tidak menjejaskan atau mengurangi kuasa mutlak Peguam Negara mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam proses pendakwaan jenayah.

“Kes ini unik (janji Perdana Menteri) dan sebarang campur tangan Peguam Negara dalam kes ini akan secara serius menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran keadilan undang-undang,” katanya.

Anwar mempersoalkan kesahihan sijil pemindahan ditandatangani Abdul Gani kerana Peguam Negara sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berikutan laporan polis dibuatnya berhubung pemalsuan keterangan dalam kes ‘mata lebam’ membabitkannya pada 1998.

Terdahulu, Ketua Unit Pendakwaan Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden dalam hujahnya menyatakan mengikut Seksyen 418A (3) Kanun Acara Jenayah, mahkamah rendah perlu memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi apabila sijil perakuan pindah kes dikemukakan pendakwa raya.

Katanya, tiada sesiapa boleh mempersoalkan keputusan pendakwa raya (Peguam Negara) apabila beliau mengeluarkan sijil perakuan mengikut Seksyen 418A dan keputusannya adalah muktamad, jadi mahkamah rendah tertakluk kepadanya.

Komathy berkata, hujah pendakwaan bahawa mahkamah rendah tiada kuasa untuk menolak atau membantah sijil perakuan ditandatangani Peguam Negara berdasarkan beberapa contoh kes, tidak boleh diterima kerana dalam kes itu ketua eksekutif negara tidak membuat sebarang janji.

“Ini berbeza kerana Perdana Menteri sudah memberi jaminan kepada tertuduh bahawa Peguam Negara tidak akan membabitkan diri dalam kes ini,” katanya.

Selain itu, Komathy berkata pihak pendakwaan juga gagal mencabar, menyangkal dan mempertikaikan segala tuntutan atau dakwaan Anwar dan isterinya dalam tiga afidavit yang difailkan mereka untuk menyokong permohonan supaya kes tidak dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

“Segala tuntutan dan dakwaan dalam afidavit perlu dijawab atau dibalas pendakwaan dan jika tiada sebarang bantahan, maka dakwaan yang dinyatakan di dalamnya perlu diterima mahkamah,” katanya.

Komathy kemudian menetapkan 14 November ini untuk sebutan kes.

Ketika ditemui selepas itu, Mohamed Yusof berkata pihaknya akan membuat rayuan dan semakan kehakiman terhadap keputusan Komathy.

Anwar, 61, yang diwakili Sulaiman Abdullah didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara jam 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun lalu.

Reblog this post [with Zemanta]

Technorati Tags: , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)