Kematian Kugan Anggota Polis Didakwa Mencedera

Sembilan bulan selepas kematian A Kugan, seorang anggota polis V Navindran didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pagi ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap tahanan tersebut yang ditemui mati dalam lokap polis Januari lalu.

Navindran tidak mengaku salah terhadap dua tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi memeras pengakuan bersalah dari Kugan. Dia didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan.

Hakim Aslam Zainuddin membenarkan ikatjamin RM10,000 bagi kedua-dua tuduhan tersebut. Beliau menetapkan kes itu disebut pada 5 November ini.

Navindran, yang memaki baju tangan panjang dan berseluar jean, tiba di mahkamah pada kira-kira jam 9.25 pagi.

Semalam, dalam satu kenyataan, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail akan didakwa Seksyen 331, Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah bagi memeraskan pengakuan bersalah dari Kugan.

Navindran juga menghadapi tuduhan alternatif mengikut Seksyen 330 kanun yang sama, dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi memeras pengakuan bersalah dari Kugan.

Kugan, 23, mati semasa dalam tahanan polis di balai Taipan di USJ pada 20 Januari lalu, selepas ditahan untuk disoalsiasat berhubung beberapa kes kecurian kereta mewah.

Dalam kenyataan tersebut, Abdul Gani berkata, siasatan polis mendapati, daripada 92 kenyataan saksi, hanya empat saksi yang mengenalpasti Navindran sebagai orang yang menyebabkan kecederaan pada dua waktu pada 16 Januari 2009.

Katanya, dalam kedua-dua kejadian itu, suspek dikatakan telah memukul Kugan dengan paip getah dan empat hari kemudiannya Kugan meninggal dunia.

Abdul Gani berkata, dalam tempoh masa empat hari itu, mangsa telah membantu siasatan polis dengan membawa mereka ke empat lokasi pada empat tarikh berlainan antara 16 dab 20 Januari 2009.

Abdul Gani juga menjelaskan mengapa Navindran tidak boleh didakwa atas tuduhan membunuh tetapi didakwa atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Kugan.

Katanya, ia kerana tiada bukti bahawa mangsa mati mengejut, tetapi sebaliknya mangsa meninggal dunia empat hari selepas dia didakwa dipukul.

Oleh itu, kata Abdul Gani, terdapat jurang masa yang lama di antaranya dan oleh itu suspek tidak dapat didakwa atas tuduhan membunuh.

Hasil laporan perubatan, katanya, tidak menunjukkan bahawa mangsa mati akibat kecederaan yang dialaminya.

Sebaliknya, kata beliau, kematiannya didapati berpunca daripada acute myocarditis, iaitu jangkitan pada jantung.

Oleh itu, katanya, pendakwaan terhadap suspek mengikut seksyen 330 dan 331 kanun keseksaan berdasarkan kepada bukti yang ada serta mengambikira laporan dan nasihat pakar perubatan.

Sumber : MalaysiaKini

Technorati Tags: , , , , , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)