Influenza A H1N1 : Kematian Kelapan

Penyakit Influenza A (H1N1) meragut korban lapan, membabitkan seorang guru yang berusia 51 tahun dari Kuala Selangor.

Guru berkenaan meninggal dunia semalam. Sekolah tempat guru itu mengajar ditutup pada 27 Julai lalu.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, mangsa yang mengalami radang paru-paru yang teruk akibat H1N1, meninggalkan dunia jam 11 malam tadi.

Mangsa pada mulanya mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 27 Julai dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 30 Julai.

Mangsa semakin teruk dan dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Seremban semalam.

Korban ketujuh Influenza A (H1N1) – seorang ibu yang baru melahirkan anak sulungnya dua minggu lalu – juga meninggal dunia semalam.

Wanita berusia 24 tahun itu adalah dari Miri. Bagaimanapun, anaknya dilaporkan selamat.

Wanita tersebut meninggal dunia jam 4 pagi ini di Hospital Umum Miri.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, ia merupakan kes kematian influenza A (H1N1) yang pertama di Sarawak.

Dr Chan yang juga pengerusi jawatankuasa bencana dan bertindak negeri berkata wanita terbabit disahkan positif H1N1 pada 17 Julai lalu, lapor Bernama.

“Wanita yang baru sahaja melahirkan anak pada 20 Julai lalu disahkan meninggal dunia jam 4 pagi ini bagaimanapun keadaan anaknya stabil,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dr Chan berkata, setakat ini terdapat 110 kes jangkitan tempatan dilaporkan di Sarawak selain 25 kes import dan orang ramai dinasihati agar lebih mengutamakan tahap kebersihan masing-masing.

Sementara itu tiga daripada 10 orang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan selesema A (H1N1) berisiko kerana masing-masing mengalami masalah obesiti, baru lepas bersalin dan imuniti rendah.

Bagi 14 kes terbaru, satu termasuk dalam angka mereka yang dirawat di ICU, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jumlah kes terkumpul kes influenza A (H1N1) di Malaysia setakat 8 pagi hari ini ialah 1,460 kes dengan jumlah kematian lapan orang,” katanya.

Daripada 1,460 kes itu, 886 daripadanya jangkitan tempatan, katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 di Putrajaya hari ini.

Daripada jumlah itu, 1,410 kes telah sembuh dan hanya 27 kes sedang menerima rawatan antivirus di hospital termasuk di ICU, manakala 23 lagi dirawat di rumah.

Sumber : MalaysiaKini

Technorati Tags: , , , , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)