Flu H1N1: Kes Tempatan Pertama

Jangkitan selesema A (H1N1) semakin serius di negara ini, susulan berlakunya penularan wabak tersebut di peringkat tempatan yang pertama pada pesakit ke-19 daripada 23 kes, sejak sebulan lalu.

Pesakit berkenaan, seorang pelajar perempuan 17 tahun, dijangkiti daripada pesakit ke-12 akibat kegagalan kuarantin apabila tidak memaklumkan pernah berhubung dengan pelajar perubatan kes terdahulu.

Akibatnya, menurut satu kenyataan Kementerian Kesihatan hari ini, kegagalan itu menyebabkan 20 orang lagi berkemungkinan terdedah kepada jangkitan H1N1.

Kementerian juga memaklumkan bahawa lima lagi kes influenza itu dikesan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Salah satu dari kes yang disahkan positif Influenza A (H1N1) adalah kes penularan tempatan yang pertama berlaku di negara ini,” kata Ketua Pengarah kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

“Kes pertama penularan tempatan (kes ke-19) adalah seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun, warganegara Malaysia yang tidak mempunyai sejarah melawat negara (asing) yang telah diisytiharkan berlaku wabak Influenza A(H1N1).

“Beliau telah mula menunjukkan simptom batuk dan selesema pada 14 Jun 2009 jam 9 malam, dan mula demam pada keesokan harinya. Pada pagi 15 Jun 2009, kes telah pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya seterusnya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh jam 10.00 pagi.

“Semasa penyiasatan, kes ke-19 melaporkan bahawa beliau adalah kontak kepada kes ke-12 iaitu pelajar perubatan yang telah disahkan positif Influenza A(H1N1) pada 13 Jun 2009.

“Namun sebelum ini beliau tidak pernah diisytiharkan sebagai salah seorang kontak kepada kes ke-12.

“Ini menyebabkan pengawasan dan kuarantin awal ke atas kes ke-19 ini gagal dilakukan dan menyebabkan 20 orang lagi (kontak) terdedah kepada jangkitan influenza A(H1N1).”

Dr Mohd Ismail menambah, sangat penting semua kes yang disahkan
positif H1N1 memberikan maklumat lengkap supaya pengawasan dan kuarantin awal dapat dilakukan kepada semua orang yang pernah berhubung dengan mangsa, seterusnya mengelakkan risiko penularan kepada orang lain.

“Tindakan undang-undang bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 boleh diambil sekiranya mereka gagal memberikan maklumat yang lengkap,” katanya.

Tambahnya lagi, sesuai dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kejadian Influenza A(H1N1) bil. 5/2009, kementerian juga mengeluarkan arahan seperti berikut:

  1. Orang awam tidak digalakkan untuk melawat hospital. Kanak-kanak berumur bawah 12 tahun dilarang pergi atau dibawa melawat ke hospital kecuali untuk mendapatkan rawatan.
  2. Setiap pesakit hanya dibenarkan menerima dua orang pelawat berumur lebih 12 tahun pada satu-satu masa. Masa lawatan di hospital kerajaan dan swasta akan dipendekkan.
  3. Saringan demam akan dilakukan kepada semua pelawat yang
    datang melawat pesakit di semua hospital kerajaan dan swasta.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama kepada penumpang, anak kapal dan kontak kepada kes agar menghubungi melalui talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 untuk mendapatkan nasihat kesihatan termasuk keperluan kuarantin di rumah.

Sumber : MalaysiaKini

Reblog this post [with Zemanta]

Technorati Tags: , , , , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)