Flu H1N1; Kes Pertama Di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia telah memaklumkan mengenai satu kes yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah disahkan positif influenza A(H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan pada 15 Mei 2009.

Ini merupakan kes yang pertama influenza A(H1N1) dikesan di Malaysia. Beliau merupakan seorang pelajar lelaki berumur 21 tahun, yang baru pulang daripada Amerika Syarikat pada 13 Mei 2009, mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan pada 14 Mei 2009, dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama pada jam 6.45 petang. Beliau telah pun diberi rawatan antiviral dan berada dalam keadaan stabil.

Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk penyiasatan perhubungan ke atas kes. Ini termasuklah menghubungi ahli keluarga beliau yang ada sejarah perhubungan dengan beliau dan penumpang serta anak kapal yang menaiki kapalterbang yang sama.

Kementerian Kesihatan juga menasihatkan semua penumpang penerbangan MH 091 dari Newark, USA dan tiba di KLIA pada 13 Mei 2009 jam 7.15 pagi supaya menghubungi talian 03-88810200 atau 03-88810300 untuk tindakan susulan.

Kementerian Kesihatan juga meminta semua Klinik-Klinik atau Hospital Swasta agar sentiasa berwaspada dan merujuk segera kes-kes yang baru kembali dari negara yang dilanda wabak influenza A(H1N1) dan mengalami gejala-gejala seperti demam dan salah satu daripada gejala berikut – batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak ke hospital-hospital rujukan yang telah ditetapkan.

Sehingga jam 12 tengah malam 14 Mei 2009, selain daripada kes di atas, Bilik Crisis Preparedness & Response Centre (CPRC) Kementerian telah menerima sebelas lagi makluman kes;

  1. Enam kes di Hospital Sungai Buloh,
  2. Dua kes di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,
  3. Satu kes di Hospital Raja Permaisuri Bainon, Ipoh,
  4. Satu kes di Hospital Pulau Pinang dan
  5. Satu kes di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Mereka ini dimasukkan ke wad pengasingan bagi tujuan siasatan dan pemerhatian. Kesemua kes menunjukkan tanda-tanda jangkitan influenza dan mempunyai sejarah melawat negara yang dilanda wabak berkenaan.

Sampel klinikal kesemua pesakit tersebut telah dihantar kepada IMR untuk ujian makmal dan didapati negatif.

Sehingga kini 20 thermal scanner telah dipasang di pintu masuk negara. Sebanyak 9,324 individu yang tiba dari negara terbabit telah disaring. Daripada jumlah tersebut, 8,395 (90%) orang disaring di pintu masuk udara, 164 (1.7%) di pelabuhan dan 763 (8.2%) di pintu masuk darat. Namun begitu, tiada yang dirujuk ke hospital rujukan bagi tujuan penyiasatan.

Sehingga 14 Mei 2009, jumlah keseluruhan penumpang udara yang telah disaring di semua lapangan terbang antarabangsa adalah seramai 82,236.

Bilik CPRC Kementerian Kesihatan telah menerima sejumlah 53 pertanyaan (51 panggilan dan 2 email) daripada orang ramai yang bertanya berkaitan dengan nasihat perjalanan ke luar negara, rawatan dan vaksin serta saringan.

Sehingga 15 Mei 2009 jam 8.00 pagi Malaysia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan satu negara baru terjejas dengan influenza A(H1N1) iaitu Belgium yang melibatkan 1 kes menjadikan jumlah keseluruhan negara terlibat menjadi 34 buah.

Jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak 7,457 kes influenza A(H1N1) disahkan oleh ujian makmal dengan peningkatan sebanyak 1,378 kes berbanding dengan laporan pada hari sebelumnya. Peningkatan ini dilaporkan di enam buah negara iaitu di USA (946), Mexico (387), Kanada (31), Panama (10), Colombia (3) dan Belgium (1). Dua lagi kematian
dilaporkan di Mexico menjadikan keseluruhan kematian kepada 65 orang.

WHO masih lagi mengekalkan tahap amaran Influenza Pandemik di Fasa 5 semenjak 29 April 2009 dan tidak menyarankan sebarang tindakan sekatan dari segi perjalanan, perdagangan serta penutupan sempadan yang perlu dilakukan oleh mana-mana negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau situasi semasa berkaitan kejadian Influenza A(H1N1) sama ada secara global ataupun di dalam negeri.

Justeru, orang awam dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan antarabangsa ke luar negara yang dilanda wabak ini. Individu yang baru kembali dari negara yang dilanda wabak influenza A(H1N1) dan mengalami gejala-gejala seperti demam dan salah satu daripada gejala berikut – batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak, dinasihatkan untuk mendapat rawatan doktor.

Kementerian Kesihatan akan terus memaklumkan orang ramai mengenai situasi semasa wabak ini di seluruh dunia khususnya di negara-negara yang dilanda influenza A(H1N1).

Maklumat terkini mengenai influenza A(H1N1) ini boleh diperolehi melalui laman web Kementerian Kesihatan iaitu http://www.moh.gov.my dan pengumuman KKM melalui media dari masa ke semasa.

Sumber : Kenyatan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Technorati Tags: , , , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

its epidemic outbreak…everyone need to watch out and take any prevention it could.

Leave a comment

(required)

(required)