Cerita Barisan Kabinet Baru 2008

Barisan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah lebih kecil iaitu dikurangkan daripada 90 kepada 68 orang sahaja. Lebih separuh daripadanya muka-muka baru untuk mengisi 27 kementerian, lebih kecil sedikit daripada 32 kementerian penggal lepas.

Dua kementerian berhubung keselamatan dan hal-ehwal dalam negeri digabungkan menjadi satu Kementerian Dalam Negeri. Sementara jabatan perpaduan bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dimasukkan di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Jawatan setiausaha parlimen juga ditiadakan.

Muka baru dalam kabinet yang diumumkan oleh Datuk Seri Abdullah adalah Datuk Mohd Zaid Ibrahim sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang akan ditugaskan untuk membantu membuat cadangan bagi perubahan dan reformasi dalam sistem kehakiman negara, Datuk Shahrir Samad (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Datuk Shabery Chik (Penerangan), Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah).

Seorang lagi muka baru ialah setiausaha agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan yang dilantik sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan dan Datuk Ismail Sabri Yaakob (Belia dan Sukan), Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad pula dilantik sebagai timbalan menteri sumber manusia. Anak ketua menteri Sarawak – Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib dilantik sebagai timbalan menteri pelancongan.

Bekas ketua pegawai eksekutif Maybank, Datuk Amirsham Abdul Aziz yang dilantik sebagai menteri di JPM adalah juga muka baru yang akan menjadi senator dan diamanahkan untuk mengetuai Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Mereka yang dinaikkan pangkat menjadi menteri pula ialah Datuk Ong Tee Kiat (Pengangkutan), Dr Ng Yen Yen (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Noh Omar (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Datuk Zin Mohamad (Kerja Raya), Datuk Shaziman Mansor (Tenaga, Air dan Komunikasi).

Turut dilantik sebagai menteri ialah Datuk Liow Ting Lai (Kesihatan), Shabery Chik (Penerangan), Datuk Dr S Subramaniam (Sumber Manusia) dan Datuk Ahmad Zahid Hamidi (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Manakala setiausaha politik Abdullah, senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dilantik timbalan Syed Hamid.

Timbalan perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak masih lagi di Kementerian Pertahanan. Menteri Kewangan II dikekalkan kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, begitu juga Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Pelajaran) dan Datuk Zulhasnan Rafique (Wilayah Persekutuan).

Menteri yang bertukar kementerian pula adalah terdiri daripada Datuk Azalina Othman (Pelancongan), Datuk Dr Rais Yatim (Luar Negeri), Datuk Khalid Nordin (Pengajian Tinggi), Mustapa Mohamed (Pertanian dan Industri Asas Tani), Datuk Dr Maximus Ongkili (Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Shafie Afdal (Perpaduan, Kebudayan dan Kesenian dan Warisan) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Sementara itu menteri yang tidak lantik semula adalah Datuk Seri Rafidah Aziz (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. (Pelancongan), Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (Hal Ehwal Dalam Negeri), Datuk Azmi Khalid (Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Jamaluddin Jarjis (Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Fong Chan Onn (Sumber Manusia).

Sementara itu Naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, menantu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak dilantik menganggotai barisan kabinet.

Technorati Tags: , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

[…] Terdapat ramai juga muka baru yang dilantik di dalam barisan kabinet baru ini. Sementara beberapa orang pula dilihat telah dinaikkan pangkat tetapi tidak kurang juga yang digugurkan. Ini semua boleh dibaca di Cerita Barisan Kabinet Baru 2008. […]

Leave a comment

(required)

(required)