Bapa Tuntut Anak Bayar Nafkah Cucu

Seorang bapa hari ini menuntut anak lelakinya membayar nafkah penjagaan dua cucunya sebanyak RM20,000 sebagai tunggakan perbelanjaan penjagaan terhadap mereka selama lebih tujuh tahun.

Mustafa Ismail, 54 dari Kampung Beladau Kolam, Manir turut membuat dua tuntutan lain di Mahkamah Rendah Syariah di sini terhadap anak lelakinya, Nasrum Mustafa, 37, yang bekerja di Kuala Lumpur sebagai pengurus operasi sebuah syarikat cari minyak swasta.

Selain itu, Mustafa juga menuntut anaknya yang berpendapatan hampir RM17,000 sebulan supaya memberi nafkah RM800 sebulan menerusi potongan gaji dan dimasukkan terus ke akaun cucunya untuk perbelanjaan penjagaan mereka.

Mustafa, yang diwakili oleh peguam Fazru Anuar Yusof, membuat tuntutan berkenaan di hadapan Hakim Kamarul Azmi Ismail yang mendengar sebutan kes itu.

Mustafa turut menuntut pihak defenden untuk hadir ke mahkamah pada tarikh sebutan semula kes berjumpa dengan bapanya kerana dia dikatakan telah lebih tujuh tahun tidak pulang ke rumah menemui keluarga termasuk kedua-dua anaknya, seorang perempuan berusia 13 tahun dan seorang lelaki, 15 tahun.

Pihak defenden tidak hadir di mahkamah hari ini.

Hakim Kamarul Azmi menetapkan sebutan semula kes pada 24 Ogos.

Semasa mendengar sebutan kes itu, hakim berharap perkara itu dapat diselesaikan secara baik di luar kamar mahkamah untuk mengelakkan ia memberi aib kepada pihak terlibat.

“Ia yang kedua seumpamanya berlaku di negara ini dan sudah tentu ia akan mendapat perhatian media dan disiar di muka depan akhbar. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku antara seorang anak dan bapa.

“Seorang anak itu sepatutnya bertanggungjawab kepada ibu bapanya dan isu ini cukup aib. Kes pertama seperti ini berlaku di Seremban melibatkan seorang pensyarah dan dibicara penuh sehingga mendedahkan aib semua orang,” katanya.

Hakim Kamarul Azmi turut memetik hadis yang menyebut Allah SWT menangguhkan semua balasan untuk dosa-dosa yang dilakukan kecuali dosa menderhaka kepada ibu bapa yang dibalas semasa hidup di dunia lagi.

Peguam Fazru Anuar, ketika ditemui di luar mahkamah, berkata anak guamnya telah menjaga kedua-dua cucunya itu tujuh tahun selepas berlaku perceraian antara defendan dengan isteri pertamanya pada 30 Dis 1998.

“Tetapi dalam tempoh itu, defendan tidak pernah pulang ke rumah untuk menjenguk anak-anaknya mahupun memberikan nafkah penjagaan kepada ayahnya sedang pihak plaintif telah lama bersara dan hanya bergantung kepada simpanan semasa bekerja dahulu,” katanya.

Menurutnya pihak defendan kini telah berkahwin lain dan begitu juga dengan bekas isterinya.

Sumber : Bernama

Technorati Tags: , , , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

[…] This post was mentioned on Twitter by Shaz Nilam. Shaz Nilam said: Putrawangsa – Bapa Tuntut Anak Bayar Nafkah Cucu: Seorang bapa hari ini menuntut anak lelakinya membayar n… http://bit.ly/doeGXD […]

Leave a comment

(required)

(required)