Bapa Nurin Saman Polis Dan Kerajaan

Bapa kepada Nurin Jazlin, kanak-kanak yang dijumpai mati dan dibunuh dengan kejam selepas kehilangannya, Ogos tahun lalu, memfailkan saman fitnah bernilai RM2 juta dan saman kecuaian terhadap Ketua Polis Negara dan tiga yang lain berikutan kecuaian penyebaran gambar bedah siasat anaknya melalui internet serta pernyataan fitnah.

Bapa Nurin, JaziminJazimin Abdul Jalil, 34, dalam saman itu menamakan Ketua Polis Negeri Selangor, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Jazimin memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, pada jam 10.30 pagi melalui Tetuan Akberdin & Co yang diwakili peguam Akbardin Abdul Kader.

Dalam saman berhubung kecuaian menyebabkan gambar bedah siasat anak sulungnya itu, Jazimin bagaimanapun tidak meletakkan jumlah ganti rugi yang dipohon sebaliknya menyerahkan kepada mahkamah memutuskannya.

Beliau bagaimanapun memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau, faedah ke atas ganti rugi am sebanyak empat peratus setahun daripada tarikh saman itu difailkan, faedah ke atas jumlah penghakiman sebanyak lapan peratus setahun, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Bapa mangsa mendakwa, gambar yang tersebar itu sepatutnya bukan untuk dijadikan tatapan umum kerana ia adalah sulit, selain sepatutnya hanya untuk kegunaan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan terhadap kematian Nurin Jazlin.

Katanya, penyebaran e-mel itu juga mengganggu ketenteraman dan memberi impak terhadap emosi keluarganya.

Sementara itu, dalam saman fitnahnya, Jazimin memohon ganti rugi am sebanyak RM2 juta, ganti rugi memburukkan, ganti rugi teladan dan ganti rugi atas reputasinya yang tercemar.

Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada terus menyebarkan fitnah secara lisan atau bertulis melalui media dan memohon defendan membuat kenyataan maaf dalam akhbar tempatan untuk menarik semula fitnah itu.

Selain itu, Jazimin mendakwa, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar (defendan pertama) dengan cuai dan tanpa asas memberikan kenyataan berunsur fitnah kerana mendakwa kehilangan Nurin berlaku berkemungkinan kerana bapa mangsa terbabit dengan pinjaman ‘along’.

“Dakwaan itu menggambarkan saya seperti seorang yang tidak bermoral dan mengalami masalah kewangan yang serius sehingga terpaksa membuat pinjaman daripada along,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Reblog this post [with Zemanta]

Technorati Tags: , , , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)