Anwar Bebas Dengan Ikatjamin

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibebaskan pagi ini.

Beliau dilihat keluar bersama anggota keluarga dan peguamnya dengan kereta pada jam 9.45 pagi.

Beliau balik ke rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur dan dijangka mengadakan sidang akhbar pada jam 2 petang.

Anwar tidak menghadapi sebarang dakwaan tetapi diminta datang semula ke balai polis pada 18 Ogos depan.

Awal pagi ini, Sankara memberitahu pemberita di luar ibupejabat polis Kuala Lumpur, tempat Anwar ditahan semalaman, bahawa mantan timbalan perdana menteri itu akan dibebaskan jam 1 petang.

Pada jam 9.30 pagi isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba bersama anak-anaknya dan masuk ke dalam bangunan IPK Kuala Lumpur.

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bermalam dalam tahanan polis selepas beliau ditangkap tengah hari semalam.

Isterinya dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah hadir di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira jam 11.25 malam semalam.

Naib presiden PKR Mohamad Azmin Ali, bersama seorang lagi naib presiden Sivarasa Rasiah dan ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff juga masuk ke bangunan IPK – tidak lama selepas Anwar dibawa pulang dari hospital Kuala Lumpur pada 10.35 malam.

Sebelum itu, 10 kenderaan polis mengiringi Anwar ke hospital dari ibu pejabat polis itu pada jam 8.35 malam dan sampai kira-kira 10 minit kemudian.

Anwar dimasukkan ke wad diraja dengan kawalan kira-kira 40 anggota polis untuk rawatan biasa.

Mohamad Azmin dan Yusmadi kelihatan masuk ke wad itu jam 10 malam.

Sebelum itu, Mohamad Azmin bersama ketua perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zaharin Mohd Hashim bertemu perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di bangunan Parlimen.

Pertemuan bermula jam 9 malam, yang melibatkan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berlangsung kira-kira 45 minit.

Mohamad Azmin berkata Abdullah memberi jaminan “tiada kejadian mata lebam” seperti 1998.

Anwar kelihatan keluar jam 10.20 malam dengan konvoi lima kenderaan polis menuju IPK.

Kira-kira 50 penyokongnya yang berkumpul di hospital melaungkan slogan “reformasi” dan “hidup Anwar” dengan disambut lambaian tangan Anwar.

Lebih 30 wartawan dan jurugambar berada di luar wad itu yang dipisahkan oleh garisan polis.

Beliau tiba di IPK kira-kira 10.35 malam dan sempat melambai kepada kumpulan penyokongnya di pinggir Jalan Hang Tuah yang menunggu sejak siang.

Anwar sebelum ini memberi keterangan kepada polis enam jam mulai 2.30 petang selepas dibawa ke IPK jam 1.11 petang semalam.

Kira-kira 500 penyokong penasihat PKR berkumpul di pinggir Jalan Hang Tuah sejak beliau ditahan tengah hari tadi.

Awal malam tadi, mereka menyalakan lilin dan melaungkan slogan “reformasi.”

Manakala sekumpulan 50 anggota polis, termasuk berpakaian biasa, berada di seberang jalan – sebelah bangunan IPK.

Mereka bersurai dengan aman sejurus selepas tengah malam ini selepas diarahkan oleh polis.

Sumber : MalaysiaKini

Technorati Tags: , , , , ,

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

Let us march together for justice and fairness.

Leave a comment

(required)

(required)